Monday, July 4, 2011

Alaa! Tak Pakai Tali Pinggang Pun Takpe!

Hadiah Paling Bermakna....


Cuba tanya pada diri sendiri, sebagai ibu bapa, pernahkah kita menghadiahi anak dengan ‘hadiah yang berkualiti’? Jika member hadiah mungkin selalu sahaja kan? Namun memberi hadiah yang berkualiti adalah bergantung kepada masa dan situasi. Sekiranya sering, ia mungkin sudah tidak lagi istimewa. Namun jika tepat pada masa dan situasinya, pasti anak akan rasa sangat dihargai. Biarpun hadiah yang diterima berupa coklat coki-coki, pensel, pemadam, permainan atau buku serta barangan yang murah sekalipun, ianya tetap bermanfaat buat pelajaran anak kita. Kerana harga bukan ukuran sesuatu hadiah, namun keikhlasan itu adalah ukurannya.
Ketika anak berhasil dalam mempelajari sesuatu, atau ketika anak telah menolong kita dalam suatu perkara, berilah sedikit penghargaan kepadanya, bukan hanya berpuas hati dengan pertolongannya. Berilah penghargaan walau dengan ucapan terima kasih. Berilah senyuman seikhlas mungkin atau sekadar pelukan erat. Tidak susah kan, walaupun bukan dengan hadiah atau penghargaan fizikal, namun dengan kasih sayang itu anak mudah menumbuhkan sikap menghargai sesuatu dalam dirinya.
“Aiman, tolong ibu angkat baju-baju di luar boleh?”
“Ok”
Dengan menghulurkan sebuah bakul kepadanya, terus diangkat semua baju-baju yang tersidai di jemuran yang rendah.
“Nah ibu, dah habis dah Aiman angkat”
“Ok, terima kasih, banyaknya pahala Aiman tolong ibu”
“Nanti Aiman dapat pahala, pastu Allah sayang” perkataan yang mudah saja meluncur dari bibir anak comel itu.
Ganjaran pahala? Bukankah ia suatu yang betul-betul tidak Nampak, malah tidak dirasai? Namun, itulah ganjaran yang paling memotivasikan dirinya. Bagaimana memupuknya? Sudah tentu dengan kaedah pengulangan. Berulang-ulang dalam menyebut tentang faedah daripada mendapat kasih sayang Allah. Dan boleh juga memberitahu sedikit ancaman daripada tidak mendapat kasih sayang Allah.
Cubalah!!! Saya telah mendapati sesuatu yang menarik. Yang penting yakin dengan perkataan yang kita sebutkan. Yakin dengan keyakinan yang benar-benar mantap, bahawa ganjaran Allah itu pasti ada.

Friday, June 10, 2011

Pendidikan Islam........

Assalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Pendidikan Islam boleh difahami dengan tiga maksud, iaitu:
         1.  Pendidikan Islam khas.  Hasan langgulung (1995) mengistilahkan  dengan Pendidikan Islam Terhad.  Ini merangkumi segala ilmu Islam yang terdiri daripada berbagai bidang, seperti Aqidah atau Tauhid, Ibadah atau Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sejarah atau Sirah, Falak dan lain-lain.  Dalam negara Malaysia inilah yang dikenali ramai dengan nama Pendidikan Islam, iaitu satu mata pelajaran dalam sekolah.
          2.  Pendidikan Islam Umum.  Ia melipuli segala bidang hidup manusia, seperti rohani, jasmani, emosi, sosial, politik, budaya, ekonomi, sains, multi media, mass media, teknikal, vokasional, pendidikan, perundangan dan lain-lain.  Maknanya, dalam setiap bidang itu ada pendidikan Islamnya.  Contohnya dalam ekonomi; kita boleh berinteraksi antara sesama manusia untuk pembangunan ekonomi, tetapi dalam Islam ada beberapa larangan semasa berinteraksi, seperti, tidak boleh tipu, mungkir janji dan sebagainya.  Di samping itu ada pula suruhan dan anjuran, seperti mudahkan kira bicara, bertolak ansur, banyak menolong dan memudahkan orang lain dan sebagainya.  Demikianlah juga dengan bidang-bidang lain.  Secara rengkasnya Islam mendidik supaya kita berinteraksi dengan orang lain mengikut kaedah Islam dan tidak melanggar perintah Islam.  Untuk mengetahui apa yang disuruh dan apa yang dilarang memerlukan ilmu.  Dan ilmu tidak dapat dengan begitu sahaja, sebaliknya mesti berusaha mencarinya, atau berlajar pada orang yang mengerti.
          Pendidikan Islam juga bermaksud Sistem Pendidikan.  Ia merangkkumi segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam.  Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian),  kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam.  Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan.  Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja.  Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan.  Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991).  Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam.  Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.




Wednesday, May 18, 2011

Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara


PERANAN guru sebagai tunjang utama dalam memperkasakan dan memajukan bidang pendidikan di negara ini sememangnya tidak dapat dinafikan lagi.
Fungsi dan peranan guru dipandang tinggi dan diiktiraf bukan sahaja sebagai penyampai ilmu, jurutera sosial, penyubur perpaduan, pencorak minda, pembangun sahsiah malah sebagai agen perubahan.
Oleh yang demikian, pemilihan tema hari guru pada tahun ini iaitu "Guru Penjana Transformasi Pendidikan Negara" adalah amat bertepatan sekali.
Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Abd. Ghafar Mahmud berkata, setinggi-tinggi penghargaan kepada semua warga guru atas jasa bakti tidak kenal erti jemu dalam usaha mendidik anak-anak bangsa yang amat memerlukan ilmu bagi memajukan diri, agama, bangsa dan negara.
"Guru bertindak sebagai pencetus dan penggerak kepada proses transformasi sistem pendidikan negara dalam usaha melahirkan generasi masa depan yang intelek, berdaya saing, berjati diri kukuh dan berpegang teguh kepada ajaran agama dan nilai sejagat," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia, baru-baru ini.
Menurut beliau, Kementerian Pelajaran telah merencanakan pelbagai dasar, polisi dan pembaharuan pendidikan bagi memantapkan proses dan pengendalian pembelajaran dan pengajaran (P&P) di sekolah.
"Kurikulum Standard Sekolah Rendah (KSSR) yang selepas ini akan diikuti pula oleh Kurikulum Standard Sekolah Menengah (KSSM) juga tidak akan berjaya tanpa komitmen dan sokongan jitu para guru.
"Peranan guru juga besar dalam memastikan kelancaran dan keberkesanan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI) dan Satu Murid Satu Sukan (1M1S).
"Semua dasar dan pembaharuan pendidikan ini tidak akan memberi makna tanpa warga pendidik sebagai golongan yang berada di barisan hadapan dalam memacu arus pendidikan agar sentiasa dinamik dan progresif," jelas beliau.
Terang beliau lagi, Program Transformasi Kerajaan yang merangkumi pelan hala tuju Malaysia menjelang 2020 yang dilancarkan pada awal tahun lalu menggariskan beberapa pelan tindakan berkaitan sistem pendidikan negara.
"Sasaran utama adalah untuk mempertingkatkan pencapaian pelajar dan bidang yang menjadi tumpuan adalah prasekolah, kemahiran asas literasi dan numerasi, Sekolah Berprestasi Tinggi (SBT) dan peningkatan prestasi Pengetua dan Guru Besar.
"Namun demikian, tanpa komitmen dan usaha gigih para guru, semua pelan yang direncanakan pasti sukar untuk dijayakan dan ia jelas menunjukkan betapa besar peranan para guru yang berupaya mencorak dan membentuk generasi masa muka," tambahnya.
Abd. Ghafar berkata, transformasi dalam pendidikan akan terus berlaku kerana ia selaras dengan aspirasi negara untuk menjadi negara maju dengan acuan tersendiri yang mengambil kira kepercayaan, budaya dan nilai setempat yang terpelihara sekian lama.
"Masyarakat meletakkan harapan tinggi kepada guru dan tumpuan sepenuhnya perlu diberikan terhadap tanggungjawab yang perlu digalas dalam bidang kurikulum, kokurikulum juga pembinaan sahsiah anak didik.
"Justeru, saya menyeru agar warga pendidik sentiasa bersedia untuk menyambut sebarang perubahan pendidikan bagi diterjemahkan semasa proses P&P dalam bilik darjah," ujarnya.
Beliau menambah, kerajaan telah menyediakan pelbagai insentif dan inisiatif bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan guru terjamin.
"Keprihatinan ini disalurkan menerusi pelbagai usaha seperti menubuhkan jawatankuasa mengkaji beban tugas guru, cadangan wujudkan jawatan pembantu guru, menambah baik infrastruktur sekolah, menyediakan peluang melanjutkan pelajaran dan menambah kuota pengetua serta guru cemerlang sehingga peringkat JUSA C," terang beliau.
Abd. Ghafar berkata, cadangan penstrukturan semula pemberian Elaun Khas Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan bagi guru-guru di Sabah dan Sarawak membuktikan bahawa bidang pendidikan, guru-guru dan murid-murid walau di mana sahaja berada menjadi keutamaan dalam agenda semasa kerajaan.
"Konsep pendemokrasian pendidikan sentiasa dipraktiskan oleh pihak kementerian bagi memastikan peluang mengikuti pendidikan berkualiti dapat dikecapi secara sama rata di seluruh negara tanpa mengira batas geografi, gender, tahap sosio ekonomi, bangsa dan fahaman politik," jelasnya.
Katanya lagi, pelbagai inisiatif diambil bagi memastikan tiada golongan yang terpinggir seperti penyediaan Sekolah pendidikan khas dan kelas integrasi pendidikan khas bagi kanak-kanak kelainan upaya
"Kementerian Pelajaran juga telah mengambil langkah memperkemas dan menambah baik syarat dan kriteria pengambilan guru pelatih bagi kursus pra perkhidmatan.
"Langkah untuk meningkatkan profesionalisme guru akan meningkatkan martabat keguruan untuk terus dihormati, disegani dan dipandang tinggi oleh masyarakat," terangnya.
Menurut Abd. Ghafar, usaha memartabatkan profesion keguruan tidak akan mencapai sasaran jika dirancang dan dilaksanakan pada peringkat kerajaan atau kementerian sahaja.
Katanya, warga pendidik sendiri selaku agen perubahan perlu memainkan peranan berkesan dengan cara sentiasa meningkatkan tahap profesionalisme masing-masing.
"Guru janganlah jemu berusaha untuk menambah baik amalan pengajaran semasa dan sentiasa berfikiran proaktif, kreatif serta inovatif.
"Guru-guru juga disarankan supaya mengaplikasi dan mengamalkan kaedah P&P terkini seiring dengan proses globalisasi agar kekal relevan dan mampu menarik minat murid-murid untuk menimba ilmu," jelasnya.

Sejarah Hari Guru_16hb Mei

Tarikh 16 Mei dipilih sebagai Hari Guru kerana pada tarikh yang sama dalam tahun yang sama 1956, Majlis Undang-Undang Persekutuan Tanah Melayu (Federal Legislative Council ) telah menerima cadangan-cadangan Laporan Jawatankuasa Pelajaran (Report Of The Education Commitee ) sebagai dasar pelajaran negara kita. Dokumen tersebut dikenali sebagai Laporan Razak, telah menjadi Dasar Pelajaran Kebangsaan semenjak hari itu.

1. Menitikberatkan peranan guru dalam pembinaan kebangsaan (termasuk  perpaduan dan
    integrasi), pembangunan negara dan perkhidmatan kepada masyarakat.
2. Menarik perhatian ibu bapa , murid dan orang ramai kepada peranan penting kaum guru
     dalam masyarakat Malaysia.
3. Memupuk semangat perpaduan ikhtisas dan muhibbah di antara guru.
4. Meninggikan martabat dan  taraf guru dalam masyarakat.
5. Memberi peluang untuk memajukan kecekapan guru melalui seminar, persidangan, 
    melanjutkan pelajaran dan sebagainya.
6. Menilai secara objektif perana guru dengan berlatarbelakangkan Malaysia dan mengambil
    langkah-langkah supaya peranan itu lebih berkesan.

Friday, January 7, 2011

22 Perkara Pendidikan Untuk Anak-Anak

22 Perkara Pendidikan Untuk Anak-anak
Ibu bapa yang matang harus tahu bagaimana cara untuk membentuk anak-anak mereka. Dalam hal ini ibu bapa harus bersepakat mendidik dan mewarnai hidup anak-anak. Hendaklah perlakuan ibu bapa yang menjadi contoh kepada anak-anak seragam tanpa ada perbezaan.
Anak-anak akan menjadi keliru jika ibu bapa mempunyai pandangan yang berbeza dalam mendidik mereka. Jangan ada pandangan yang berbeza antara ibu dan bapa. Misalnya, si ibu menentang sesuatu yang anak lakukan sedangkan si bapa membenarkan.Ibu bapa juga harus berwaspada dengan perlakuan datuk dan nenek atau saudara-saudara yang lain yang berlawanan dengan perlakuan ibu bapa. Kerana ia boleh meruntuhkan cara pendidikan yang telah diberikan oleh ibu bapa kepada anak-anak.
Untuk mendidik anak-anak dengan cara penampilan yang baik, ada beberapa perkara yang harus diamalkan:
1)
       Biasakan anak-anak menyebut nama Allah s.w.t. ketika mulai makan dan minum serta bersyukur kepada Allah s.w.t. sesudah selesai makan.
2)
       Jangan biarkan makan terburu-buru, biasakan anak-anak mengunyah makanan dengan baik.
3)
       Biasakan anak mulakan makan makanan yang berada paling dekat di depannya.
4)
       Biasakan anak mencuci tangan sebelum dan sesudah makan.
5)
       Biasakan anak makan dengan wajar dan jauhkan daripada sifat rakus.
6)
       Biasakan anak membuang hingus dengan tangan kiri, begitu juga jika membuang kotoran.
7)
       Jangan biarkan anak menghisap jari dan menggigit kuku.
8)
       Hendaklah membiasakan dia memberi dan menerima makanan dengan tangan kanan.
9)
       Jangan biasakan anak memakai baju atau seluar yang pendek, sebaliknya biasakan anak-anak menutup aurat sejak mereka masih kecil lagi.
10)
    Jangan biasakan anak tidur tertiarap.
11)
    Biasakan anak makan roti kering tanpa kuah sehingga dia tidak menganggap kuah itu sebagai suatu keharusan.
12)
    Biasakan anak memberus giginya ketika bangun tidur di waktu sesudah makan dan di waktu hendak tidur.
13)
    Biasakan anak mengucap dua kalimah syahadah dan mengulang-ulangnya beberapa kali setiap hari.
14)
    Biasakan anak membaca alhamdulillah setiap kali bersin.
15)
    Suruh anak menutup mulut setiap kali menguap (sangap).
16)
    Biasakan anak berterima kasih di atas kebaikan orang lain.
17)
    Biasakan anak berjalan di jalan yang telah disediakan. Larang ia bermain-main di jalan raya kerana ini amat merbahaya dengan kehadiran kenderaan yang lalu-lalang.
18)
    Jangan biarkan anak melemparkan kekotoran di jalan tetapi suruh ia meyingkirkan gangguan seperti duri, batu, kaca dan sebagainya.
19)
    Suruh dia mengucap salam dengan sopan kepada sesiapa yang ditemuinya serta menjawab salam cara sopan.
20)
    Hendaklah anak menghormati milik orang lain dan jangan biarkan dia mengambil barang permainan orang lain.
21)
    Jangan ibu bapa bertengkar di hadapan anak kerana sikap ini menghilangkan wibawa orang tua di mata anak mereka.
22)
    Biasakan anak menjawab azan, mengucap selawat kepada Nabi s.a.w. sesudah azan dan doa memohon wasilah bagi Nabi.
Perkara ini hendaklah dilakukan selalu agar anak-anak terbiasa dengan perkara-perkara yang baik.Untuk membiasakan didikan-didikan di atas, ia memerlukan kesefahaman, kesepakatan dan kerjasama antara ibu bapa. Kita sudah sepakat dan saling bekerjasama untuk menerapkan didikan tersebut ke atas diri anak kita sejak anak itu kecil lagi, iaitu ketika umurnya antara tujuh sehingga 14 tahun

Lagu 1 Malaysia