Friday, June 10, 2011

Pendidikan Islam........

Assalamu `Alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh


Pendidikan Islam boleh difahami dengan tiga maksud, iaitu:
         1.  Pendidikan Islam khas.  Hasan langgulung (1995) mengistilahkan  dengan Pendidikan Islam Terhad.  Ini merangkumi segala ilmu Islam yang terdiri daripada berbagai bidang, seperti Aqidah atau Tauhid, Ibadah atau Fiqah, Tafsir, Hadis, Akhlak, Sejarah atau Sirah, Falak dan lain-lain.  Dalam negara Malaysia inilah yang dikenali ramai dengan nama Pendidikan Islam, iaitu satu mata pelajaran dalam sekolah.
          2.  Pendidikan Islam Umum.  Ia melipuli segala bidang hidup manusia, seperti rohani, jasmani, emosi, sosial, politik, budaya, ekonomi, sains, multi media, mass media, teknikal, vokasional, pendidikan, perundangan dan lain-lain.  Maknanya, dalam setiap bidang itu ada pendidikan Islamnya.  Contohnya dalam ekonomi; kita boleh berinteraksi antara sesama manusia untuk pembangunan ekonomi, tetapi dalam Islam ada beberapa larangan semasa berinteraksi, seperti, tidak boleh tipu, mungkir janji dan sebagainya.  Di samping itu ada pula suruhan dan anjuran, seperti mudahkan kira bicara, bertolak ansur, banyak menolong dan memudahkan orang lain dan sebagainya.  Demikianlah juga dengan bidang-bidang lain.  Secara rengkasnya Islam mendidik supaya kita berinteraksi dengan orang lain mengikut kaedah Islam dan tidak melanggar perintah Islam.  Untuk mengetahui apa yang disuruh dan apa yang dilarang memerlukan ilmu.  Dan ilmu tidak dapat dengan begitu sahaja, sebaliknya mesti berusaha mencarinya, atau berlajar pada orang yang mengerti.
          Pendidikan Islam juga bermaksud Sistem Pendidikan.  Ia merangkkumi segala aspek yang berkaitan dengan pendidikan, dan semuanya mesti dilihat dan dilaksanakan mengikut prinsip Islam.  Ini termasuklah gurunya, pengurusnya sama ada di sekolah atau di pejabat (Jabatan dan Kementerian),  kriteria pemilihan guru, pemilihan kakitangan sekolah dan pejabat, kurikulum, sukatan pelajaran, buku teks, falsafah, matlamat dan segala-galanya mesti berdasarkan kepada prinsip Islam.  Kalau tidak berdasarkan kepada prinsip Islam maka ia tidak dinamakan sistem pendidikan Islam, walau pun di dalamnya terdapat pengetahuan agama Islam, seperti pengetahuan Agama Islam yang diajar di sekolah, di maktab, di politeknik, universiti dan lain-lain institusi pendidikan.  Kerana pengetahuan Agama Islam itu, atau Tamadun Islam yang diajar itu, merupakan sebagai tempelan atau sulaman sahaja.  Akibatnya kita tidak dapat melahirkan orang Islam yang mengamalkan Islam secara total, kerana ia bukan lahir daripada sistem, sebaliknya lahir daripada tempelan.  Kalau Pendidikan guru, misalnya, maktab perguruan atau universiti yang bukan mengikut sistem pendidikan Islam, maka kita tidak dapat melahirkan guru Islam yang sebenarnya, yang lahir ialah guru Tampal Sulam (Hasan langgulung 1991).  Jadi, sistem yang tampal sulam itu mengeluarkan guru yang tidak lebih daripada Guru Tampal Sulam.  Jadi pendidikan Islam itu ialah suatu yang luas dan bersifat holistik, bukan sempit seperti yang difahami oleh kebanyakan orang.