Sunday, March 28, 2010

Pendidikan Seni Visual

Pendidikan Seni Visual menjurus kepada seni tampak dan tidak merujuk kepada seni lain seperti seni muzik, seni sastera, seni tari dan seni mempertahankan diri.
Pendidikan Seni Visual sekolah menengah lebih menegaskan kegiatan dalam proses penghasilan dengan melibatkan aspek pemahaman,penghayatan dan kritikan. Proses ini menyentuh perasaan estetik dan daya kreativiti individu melalui penajaman daya intuisi, persepsi, imaginasi dan konsepsi murid. Dengan ini, murid diharapkan dapat mengamalkan pertimbangan seni visual, meningkatkan lagi kepekaan, menjadi pengkarya yang rasional dan mampu mengendalikan kehidupan dengan membawa bersama nilai yang disebutkan.
Kurikulum Pendidikan Seni Visual sekolah menengah merangkumi perkara yang berkait dengan seni halus, komunikasi visual, reka bentuk dan kraf tradisional. Murid dilatih untuk melihat sesuatu dengan perspektif yang lebih luas sama ada daripada aspek estetik mahupun aspek gunaan. Melalui kefahaman aspek di atas, murid dapat diterapkan dengan penghayatan warisan seni visual dan mengamalkannya dalam kehidupan, terutama dalam meningkatkan nilai hidup. Murid akan didedahkan dengan ilmu seni visual yang berkaitan dengan bidang tertentu dan menerapkan budaya menghargai serta mengaplikasi ilmu yang diperolehi bersama.

Objektif :
1. menghargai keindahan alam ciptaan Tuhan,
2. memupuk budaya penyelidikan dalam proses penghasilan karya seni visual,
3. meningkatkan pengetahuan, daya kreativiti, inovasi, disiplin serta kemahiran dalam bidang seni visual yang dapat diamalkan dalam kehidupan dan kerjaya,
4. menggunakan pelbagai kemahiran, media, teknik dan teknologi untuk mereka cipta barangan kraf dan produk seni visual yang berkualiti,
5. membuat diskripsi, analisis, interpretasi dan penilaian terhadap karya seni visual,
6. mendapat nilai tambah dalam disiplin sains, teknologi dan mata pelajaran lain.
7. menghargai sumbangan dan pengaruh tokoh-tokoh seni visual dalam konteks perkembangan sejarah seni visual di Malaysia dan antarabangsa,
8. menjadikan bidang seni visual sebagai prospek kerjaya,
9. menyedari dan menghargai suasana seni dalam persekitaran dan kaitan dengan keselesaan hidup, dan
10. membina jati diri ke arah pembentukan negara bangsa.







No comments:

Post a Comment